Nama Surah: Juz 22 & 23 mengandungi 6 surah iaitu al -Ahzab, Saba', Fatir, Yasin, alSaffat dan Sad.
Tema surah-surah dalam juz 22 & 23: APA MAKNA SERAH DIRI?
Matlamat surah-surah ini: Kita semua tahu perkataan Islam bererti serah diri (tunduk patuh, mengaku kalah) kepada Allah.
Tetapi bagaimana cara serah diri? Surah-surah ini memberikan huraian kepada konsep serah diri ini.
Kupasan: 6 surah tersebut di atas memperkatakan makna Islam dalam konteks berikut:
1. al-Ahzab – Serah diri kepada Allah walaupun hidup dihimpit bermacam kesulitan
2. Saba' – Serah diri kepada Allah walaupun hidup senang lenang dan sudah tercapai tamadun gemilang.
3. Fatir – Serah diri kepada Allah dalam mengejar gah dan kemuliaan.
4. Yasin – Serah diri dengan meneruskan dakwah sekalipun tiada harapan manusia menerimanya.
5. al-Saffat – Serah diri dengan mematuhi perintah Allah sekalipun tidak memahami hikmah di sebalik suruhan atau laranganNya.
6. Sad – Serah diri dengan bersegera kembali dan bertaubat bila tergelincir.
Untuk memahami Islam, perlu diteliti keenamenam surah ini. Ini bukan bermakna kupasan yang diberikan ini adalah kupasan menyeluruh. Tiada manusia di zaman ini boleh mendakwa dia memahami Islam dengan menyeluruh kerana makna Islam terlalu luas. Walaubagaimanapun 6 surah ini memberikan gambaran penting tentang makna Islam.
1. Surah al-Ahzab.
Surah ini memperkatakan tentang sifat serah diri kepada Allah di kala kesulitan. Ia menampilkan beberapa model ikutan, kita bincangkan hanya 3 darinya:
Model ikutan 1:
Dalam perang Ahzab (atau Khandaq), orang Islam dikepung dari segenap penjuru dan digoncang iman mereka.
"Dan ingatlah detik musuh datang menghimpitmu dari atas dan dari bawah, lalu penglihatanmu menjadi tak tentu arah dan terasa seolah jantungmu naik ke kerongkongmu lalu kamu menyangka bermacam-macam sangkaan terhadap Allah. Detik inilah diuji orang beriman dan digoncang pendirian mereka dengan goncangan yang dahsyat." (Ahzab 10-11)
Bagaimana pendirian Nabi s.a.w. dan orang mukmin?
"Apabila orang mukmin melihat tentera bersekutu (yang menggerunkan dan besar bilangannya) mereka berkata: "Inilah yang telah dijanjikan Allah dan RasulNya kepada kami dan benarlah janji Allah dan RasulNya." Dan tidaklah tentera Ahzab itu memberi kesan kepada mereka melainkan menambahkan iman dan serah diri mereka kepada Allah." (Ahzab 22)
Ganjarannya ialah syahid.
"Di antara orang beriman ada yang bersungguh mahu memenuhi janji mereka untuk berjuang. Di antara mereka ada yang telah selesai memenuhi janji mereka (dan gugur syahid) dan di antara mereka ada yang masih menunggu giliran. Dan mereka tidak berganjak dari janji mereka sedikitpun." (Ahzab 23)
Model ikutan 2:
Satu lagi suasana perit yang dihadapi Nabi s.a.w. ialah suruhan Allah supaya berkahwin dengan bekas isteri anak angkatnya. Zaid bin Harithah adalah seperti anak kandung Nabi s.a.w. sendiri. Bagaimana perasaan seorang ayah apabila disuruh berkahwin dengan bekas isteri anak sendiri? Bagaimana pula tohmahan masyarakat? Tetapi orang mukmin tiada pilihan melainkan serah diri dan taat.
"Dan tidak harus bagi orang beriman lelaki dan perempuan, apabila Allah dan Rasul telah menetapkan sesuatu keputusan, untuk dia membuat pilihan (samada untuk mematuhi atau tidak)." (Ahzab 40)
Model ikutan 3:
Dalam suasana jahiliyyah di mana wanita mendedahkan perhiasan (yakni badan), turun ayat mewajibkan hijab (Lihat Ahzab 59). Akhawat yang pernah ke luar negara dapat menghayati perkara ini kerana di musim panas, ramai wanita di Barat memakai t-shirt dan seluar pendek tetapi wanita mukmin masih melabuhkan pakaiannya. Ia bukan sesuatu yang mudah dilakukan melainkan oleh mereka yang diberi kekuatan oleh Allah.
Kesimpulannya ialah bahawa antara maksud Islam ialah tetap berserah diri kepada Allah di dalam kesusahan.
Hikmah nama surah al-Ahzab: Peperangan Ahzab merupakan simbol bagi kehidupan orang mukmin yang tertekan.
2. Surah Saba'.
Surah Saba' juga memperkatakan tentang serah diri kepada Allah, tetapi serah diri di kala senang (seperti sekarang di Malaysia??) dan di kala tercapainya tamadun gemilang. Matlamatnya supaya tamadun tersebut berkekalan dan Allah tidak menghantar bala menghancurkan tamadun tersebut.
Surah ini menampilkan 2 model:
Satu model ikutan iaitu tamadun Nabi Daud dan Sulaiman a.s. dan satu model sempadan iaitu tamadun Saba'.
Model ikutan: Tamadun Nabi Daud dan Sulaiman a.s. Tamadun Nabi Daud dan Sulaiman a.s. merupakan model tamadun yang sangat tinggi, sangat berjaya, sangat tersebar luas dan bertahan lama kerana ia tamadun yang berserah diri kepada Allah, sehinggakan gunung-ganang dan burung-burung bersama bertasbih bersama Daud a.s. (lihat Saba' 10). Daud a.s. dikurniakan kepandaian membuat baju besi (Saba 11). Sulaiman a.s. menggunakan angin untuk membawanya ke tempat jauh dalam masa satu pagi boleh sampai ke tempat yang biasanya mengambil masa sebulan perjalanan (Saba 12). Jin-jin menjadi pekerjanya membuat bangunan inggi. Ini model ideal tamadun yang berserah diri kepada Allah.
Model sempadan: Tamadun Saba' Tamdun Saba' juga suatu ketika merupakan tamadun gemilang, tetapi penduduknya berpaling engkar, lalu ia dibinasakan oleh banjir besar. Kebun mereka dulunya subur tetapi dihapuskan. Yang tinggal hanya pohon-pohon yang pahit buahnya dan pohon-pohon yang jarang-jarang berbuah serta beberapa pohon bidara (Saba' 16) Perhatikan bahawa tamadun Islam yang diasaskan Nabi s.a.w. boleh berdiri 1300 tahun bukan kerana sains teknologi tetapi kerana sifat serah diri kepada Allah. Maka apabila sudah mula asyik dengan sains dan teknologi khususnya di penghujung zaman Abbasiyyah (zaman kegemilangan Islam?), tamadun ini mula merosot dan akhirnya dibinasakan Monggol.
Tiada salah sains dan teknologi selagi tidak meletakkan harapan kepada sains dan teknologi melebihi harapan kepada Allah... Kesimpulannya ialah bahawa antara maksud Islam ialah tetap berserah diri kepada Allah selepas mencapai kesenangan.
3. Surah Fatir
Surah ini mengajak mereka yang ingin mendapatkan kemuliaan ('izzah) supaya berserah diri kepada Allah.
"Sesiapa yang inginkan kemuliaan maka milik Allah jualah segala kemuliaan." (Fatir 10)
Kemuliaan hakiki tidak didapati dengan mendampingi orang tertentu atau dengan menjadi sekutu negara tertentu. Kemuliaan hakiki didapati dengan berserah diri kepada Allah.
"Wahai semua manusia kamu semua fakir (berhajat) kepada Allah. Dan Allah sahaja yang Maha Kaya (tidak berhajat kepada sesiapa) lagi Maha Terpuji." (Fatir 15)
Kenapa meletakkan harapan kepada manusia, padahal segala-galanya adalah milik Allah?
Kesimpulannya ialah bahawa antara maksud Islam ialah tetap berserah diri kepada Allah dalam mencari kemuliaan.
4. Surah Yasin
Surah ini memperkatakan bahawa antara tanda berserah diri kepada Allah ialah bahawa kamu meneruskan dakwah dan tidak kendur dalam dakwah. Ramai manapun manusia yang mendustakan Islam, masih ada hati-hati yang masih hidup dan menunggu-nunggu detik seseorang datang mengajaknya kepada Islam. Oleh itu teruskan dakwah demi hati-hati yang hidup ini, walaupun usaha ini seolah-olah tidak membawa sebarang hasil. Ini penekanan surah Yasin. Betul, majoriti manusia tidak respon kepada dakwah seperti dinyatakan ayat-ayat di bawah ini.
"Sesungguhnya telah tetap keputusan ke atas kebanyakn mereka, lalu mereka tidak beriman." (Yasin7)
"Sesungghunya Kami jadikan bagi mereka belenggu di leher yang memberkas hingga ke bawah dagu, lalu mereka sentiasa terdongak (kesombongan)." (Yasin 8)
"Dan Kami jadikan halangan di depan mereka (supaya mereka tidak memikirkan tentang akhirat) dan halangan di belakang mereka (supaya mereka tidak ambil iktibar dari sejarahkaum yang binasa) dan Kami tutup mata (hati) mereka lalu mereka tidak melihat (jalan lurus). (Yasin 9)
"Dan sama sahaja bagi mereka, samada engkau beri peringatan atau tidak, mereka tetap tidak beriman." (Yasin 10)
Semua ayat-ayat di atas adalah berkenaan majoriti manusia yang tidak beriman. Namun di kalangan manusia tidak beriman ini masih ada golongan minoriti, yang memiliki hati-hati yang masih mahu mendengar. Sebagai contohnya lihat kisah sebuah bandar:
"Dan buatlah perumpamaan sebuah bandar..." (Yasin 13).
Bandar ini diutuskan seorang rasul lalu didustakan dan mereka tidak beriman. Kemudian diutuskan rasul kedua, masih mereka tidak beriman. Lalu diutuskan rasul ketiga, hanya seorang sahaja beriman. Berbaloikah 3 utusan menggadai nyawa, tetapi hasilnya hanya satu orang yang beriman? Sudah tentu, kerana ia menunjukkan sifat serah diri dan taat para rasul tersebut melaksanakan apa yang disuruh tanpa memikirkan diri sendiri.
"Dan (tatkala rasul itu diancam untuk direjam), datanglah seorang lelaki dari hujung bandar sambil berlari lalu berkata, "Wahai kaumku, ikutilah rasul itu." (Yasin 20)
Kisah ini menunjukkan kesungguhan para rasul menggadai nyawa, ada mati disembelih, ada mati digergaji. Mereka tidak mengira akibat buruk yang bakal menimpa mereka. Mereka menggadai nyawa sekalipun untuk menarik hanya seorang sahaja kepada Islam. Surah ini ingin tonjolkan bahawa antara tanda menyerah diri sepenuhnya kepada Allah ialah meneruskan dakwah sekalipun terpaksa menggadai nyawa.
Bagaimanakah nasib lelaki yang menerima seruan rasul tadi?
"Setelah dia mati, dikatakan kepadanya:
'Masuklah ke dalam syurga.' Dia berkata: 'Alangkah baiknya jika kaumku mengetahui tentang apa yang menjadikan daku diampunkan oleh Tuhanku dan menjadikan daku dari orang yang dimuliakan." (Yasin26-27)
Bagaimanakah nasib beliau jika sebaliknya berlaku, yakni jika para rasul tersebut tidak menggadai nyawa datang menyampaikan dakwah? Surah ini juga ingin tonjolkan bahawa para rasul menyerah diri hingga maut menjemput mereka. Ini dia serah diri yang abadi. Sekalian cakerawalapun tunduk patuh menyerah diri berbakti kepada Allah tanpa henti sejak berjuta tahun sehingga maut menjemput mereka (kiamat)..
"Dan matahari beredar di orbit yang telah ditetapkan (menyerah diri secara total). Begitu (ia patuh kepada) ketentuan Tuhan Maha Agong, Maha Mengetahui." (Yasin 38)
Matahari serah diri, patuh kepada Allah sejak berjuta-juta tahun dahulu hingga maut menjemputnya. Bagaimana manusia tidak mahu menyerah dirinya kepada Allah?
"Dan bulan pula Kami tentukan peringkatperingkatnya (dari anak bulan ke bulan penuh) kemudian ia kembali semula menjadi anak bulan berbentuk tandan kering, (lalu ia patuhi apa yang Kami tentukan itu)" (Yasin 39)
Betul di sana ramai yang tidak respon kepada penat lelah para dai, tetapi di sana juga masih ada hati-hati yang masih hidup bersedia menyahut seruan kepada Islam jika ada yang menyeru.
Ini maksud surah Yasin – menghargai hati yang hidup. Sebab itu disuruh bacakan surah Yasin kepada orang hampir mati (dalam hadis riwayat Ahmad) – sekalipun tubuh hampir mati, hatinya barangkali masih hidup dan terdetik untuk menyahut seruan Islam.
Kesimpulannya ialah bahawa antara maksud Islam ialah berserah diri kepada Allah dengan meneruskan dakwah.
Hikmat nama surah: Yasin ialah salah satu nama Nabi s.a.w. dan Nabi s.a.w. adalah merupakan simbol dai yang ulung yang terus menerus berdakwah sekalipun tiada yang respon. Beliau s.a.w. tidak kendur walau dipukul, di baling kotoran, di curahkan perut unta ketika solat, di baling batu hingga berdarah dan diancam akan dibunuh.
5. Surah al-Saffat
Matlamat surah ini ialah bahawa antara maksud serah diri ialah mematuhi perintah Allah walaupun tidak memahami hikmah/kebaikan perintah tersebut. Surah ini memberikan fokus kepada contoh-contoh di kalangan para anbiya seperti Nuh a.s. yang disuruh membina kapal besar padahalkawasan tersebut jauh dari laut. Nabi Nuh a.s. tetap patuh sekalipun tidak jelas hikmah dalam suruhan tersebut. Begitu juga dalam kisah Nabi Ibrahim a.s. Nabi Ibrahim a.s. sangat berhajat kepada seorang anak yang boleh meneruskan dakwah kerana umurnya sudah melepasi 80 tahun. Beliau tidak putus berdoa agar dikurniakan zuriat yang soleh. Akhirnya doanya dimakbulkan dengan kedatangan seorang anak (Ismail a.s.) yang bersifat 'halim'.
"Lalu Kami berikan khabar gembira dengan kedatangan seorang anak muda yang bersifat halim." (al-Saffat 101)
Halim bererti penyabar, penyantun, tak mudah melatah, tahan dikutuk dikeji. Yang Maha Halim' ialah Allah kerana ia salah satu alAsma al-Husna. Walaupun ada makhlukNya yang melakukan syirik atau menghinaNya atau mengatakan Tuhan itu tiga, Dia Maha Penyabar tidak terus menghukum. Itu antara maksud 'halim'.
Berbalik kepada kisah Ibrahim dan Ismail a.s. Cuba bayangkan situasi berikut............. Anda seorang ayah atau ibu............... Bayangkan anda menunggu sebegitu lama, 80 tahun sebelum mendapat zuriat. Tidak pasti berapa lama anda boleh bertahan lagi. Mungkin esok atau lusa anda akan mengucapkan selamat tinggal kepada dunia yang fana' ini. Anda mengharapkan seorang anak. Anda tidak putus asa berdoa dan terus berdoa. Tahun demi tahun berlalu. Akhirnya doa anda dimakbulkan. Anda dikurniakan seorang anak yang cukup istimewa. Anda merasa cukup gembira. Dialah segala-galanya dalam hidup anda. Apatah lagi anak tersebut seorang anak yang oleh bersifat 'halim', amat penyabar, amat bersopan santun, tidak pernah menderhaka. Dia menjadi kebanggaan anda.
Anda meletakkan harapan yang sangat tinggi kepada anak kesayangan anda tersebut. Dia adalah segala-segalanya bagi anda. Anda habiskan semua harta untuknya. Bagaimana perasaan anda apabila tiba-tiba setelah anak itu baru sahaja mencapai baligh, datang perintah dari Allah bahawa anda mesti menyembelih anak tunggal anda tersebut. Anda telah meletakkan harapan yang begitu tinggi kepada anak itu selama ini tetapi anak itu akan mati tidak lama lagi. Jika anak itu mati di medan jihad, barangkali anda boleh menerima hakikat itu. Jika dia mati kerana kemalangan, barangkali anda boleh cuba terima hakikat itu walaupun ia bukan perkara mudah. Tetapi tidak, anak itu akan mati di tangan anda sendiri. Anda akan menjadi ejen membunuh anak itu. Bagaimanakah anda boleh hidup selepas ini dengan peristiwa hitam ini bakal menghantui hidup anda selama hayat anda? Tetapi Ibrahim a.s. adalah seorang yang menyerahkan segala-galanya kepada Allah.
Apabila ayahnya (pembuat berhala) menghinanya dan mengusirnya, dia tidak membantah. Dia ada Allah sebagai teman. Apabila dia di hukum bakar hidup-hidup kerana menghancurkan berhala di kampungnya, dia terima. Dia tahu Allah tidak akan mensia-siakannya. Apabila di suruh berdakwah kepada Namrud raja zalim lagi bengis, dia laksanakan. Dia tahu Allah akan melindunginya. Apabila dia disuruh meninggalkan isteri keduanya Hajar dan anaknya Ismail yang masih kecil di tanah gersang (Mekah) tanpa bekalan, dia taat. Dia tahu Allah tidak akan mensia-siakan ahli keluarganya berdua. Apabila kawasan dakwahnya meliputi kawasan sangat luas (Ibubapa di Iraq, isteri pertama di Palestin, isteri kedua di Mekah, berdakwah juga di Mesir) dia tidak membantah. Dia tahu Allah akan membantunya. Apabila Firaun di Mesir ingin merampas isteri pertamanya Sarah yang sangat jelita itu, dia serah diri kepada Allah. Dia tahu Allah akan menyelamatkannya.
Apabila dia diuji dengan tiada zuriat selama 80 tahun, dia bersabar. Dia tahu perancangan Allah adalah yang terbaik. Sekarang Allah mahu dia sembelih anak kesayangannya hidup-hidup. Tetapi arahan sembelih itu datang secara kabur – ia datang dalam mimpi, bukan dalam jaga.
Bukannya Jibril yang datang membawa wahyu menyuruh menyembelih anaknya. Ia cuma suatu mimpi. Dia melihat dalam mimpi bahawa dia menyembelih anaknya
Adakah mimpi memadai untuk dilaksanakan? Ya, ia adalah mencukupi bagi Ibrahim a.s. kerana dia sungguh memahami bahawa mimpi para anbiya adalah benar dan mengandungi suruhan yang mesti dilaksanakan.
"Maka tatkala anaknya itu sampai umur baligh Ibrahim a.s. berkata: 'Wahai anakanda kesayanganku. Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku menyembelihmu, maka fikirkan apa pendapatmu.' Ismail a.s. menjawab: 'Wahai ayahanda, laksanakan apa yang diperintahkan. Insya Allah ayahanda akan dapati daku dari orang-orang yang sabar." (al-Saffat 102)
Rupa-rupanya bukan Ibrahim sahaja yang menyerah dirinya kepada Allah secara total. Si anak pun demikian juga. Tidak membantah sedikitpun melainkan menyerah diri semata-mata.
Lalu dilaksanakan segala persiapan. Datang syaitan menghasut, Si ayah melontarnya dengan batu, si anakpun melontarnya dengan batu, si isteri juga melontarnya dengan batu. Sekarang umat Islam melontar tiga jamrah sebagai mengingati peristiwa tersebut. Hampir sahaja pisau leher si anak, tiba-tiba terdengar seruan. "Setelah kedua-duanya menyerah diri dan dia telah baringkan anaknya secara mengiring,
Kami seru: 'Wahai Ibrahim, (memadai) engkau telah sempurnakan maksud mimpi engkau..." (Al-Saffat 103-105)
Kenapa kita dianjurkan menyembelih korban setiap tahun? Tidak lain supaya kita dapat belajar dari maksud menyerah diri sebagaimana yang diajarkan oleh Ibrahim dan Ismail.a.s. – bahawa Islam bererti mematuhi segala suruhan dan menjauhi segala larangan sekalipun kita tidak memahami hikmah disebalik suruhan/larangan tersebut.
Kesimpulannya ialah bahawa antara maksud Islam ialah tetap berserah diri kepada Allah walaupun tidak mengetahui hikmah disebalik suruhan/larangan.
Hikmah nama surah: Saffat bermaksud barisan (saf) para malaikat. Sifat asasi malaikat ialah ubudiyyah dan menyerah diri secara total kepada Allah. Para malaikat membentuk safsaf menunggu untuk menerima apa saja suruhan Allah dengan tunduk patuh tanpa sebarang bantahan. Saffat merupakan simbol ketaatan yang syumul, simbol serah diri yang sebenar.
6. Surah Sad
Surah Sad menceritakan bagaimana setelah seseorang telah Islam dia masih boleh tergelincir. Persoalannya, adakah selepas tergelincir dia akan kembali ke jalan lurus atau tidak? Atau adakah dia akan terus menerus berada dalam kegelapan kerana angkuh untuk bertaubat? Atau terus menerus berada dalam kegelapan kerana malu untuk kembali kepada Allah? Atau terus menerus berada dalam kegelapan kerana malu kepada manusia untuk mengakui kesilapannya? Atau terus menerus berada dalam kegelapan kerana malu untuk membetulkan kesalahannya di depan manusia?
Surah Sad menampilkan 3 model tauladan yang merupakan 3 nabi yang segera kembali menyerah diri kepada Allah setelah mereka diuji.
Surah ini juga menampilkan satu model sempadan iaitu kisah Iblis yang angkuh tidak mahu bertaubat setelah dia diuji. Ketiga-tiga nabi yang dimaksudkan iaitu Daud, Sulaiman dan Ayyub a.s. ketiga-tiganya dirujuk sebagai 'abd' (hamba Allah) sebagai menunjukkan sifat ubudiyyah mereka kepada Allah. Ketiga-tiga mereka juga dipanggil 'awwab' bermaksud 'orang yang bersegera kembali kepada Allah.
"Dan bersabarlah dan ambillah iktibar dari hamba Kami Daud yang mempunyai kekuatan dalam agama, sesungguhnya dia adalah orang yang bersegera kembali kepada Kami." (Sad 17)
"Dan Kami kurniakan kepada Daud seorang anak bernama Sulaiman. Sulaiman itu sebaik-baik hamba (di zamannya). Sesungguhnya dia seorang yang bersegera kembali kepada Kami." (Sad 30)
"...Kami dapati Ayyub seorang yang sabar, sebaik-baik hamba (di zamannya). Sesungguhnya dia seorang yang bersegera kepada Kami."
Daud a.s. telah memberikan suatu fatwa. Kemudian dia merasakan dia telah membuat kesilapan dalam memberi fatwa tersebut. Dia segera melihat peristiwa ini sebagai suatu ujian dari Allah.
"...Dan Daud merasakan Kami telah mengujinya, lalu dia beristighfar kemudian tersungkur sujud lalu kembali (bertaubat) kepada Tuhannya." (Sad 24)
Sulaiman a.s. pula yakin akan mendapat anak yang akan boleh dibesarkan menjadi pahlawan, lupa menyebut Insya Allah, lalu Allah dikurniakannya seorang anak yang tidak cukup sifat.
"Dan sesungguhnya Kami telah menguji Sulaiman dan Kami letakkan di atas takhtanya suatu jasad (bayi yang tidak cukup sifat), lalu Sulaiman kembali (bertaubat sambil merayu). Katanya: 'Wahai Tuhanku, ampunkanlah kesliapanku ..." (Sad 34-35)
Ayyub a.s. pula pernah bersumpah memukul isterinya seratus kali kerana tidak melayannya ketika dia a.s. sakit tenat. Apabila sudah sembuh timbul rasa belas untuk memukul isterinya tetapi pada masa sama beliau tidak mahu melanggar sumpah. Allah menyuruhnya supaya tetap melaksanakan sumpahnya tetapi memukul dengan menggunakan sesuatu yang tidak menyakitkan.
"Dan ambil dengan tanganmu seikat jerami dan pukullah dan jangan sekali melanggarsumpah. Sesungguhnya Kami dapati Ayyub seorang yang sabar. Dia sebaik-baik hamba (di zamannya). Sesungguhnya dia seorang yang bersegera kembali kepada Tuhannya."
Model seterusnya ialah model yang perlu dijadikan sempadan – kisah Iblis.
Iblis diuji dengan suruhan sujud kepada Adam a.s. lalu dia tergelincir. Tidak seperti para anbiya yang bersegera kembali bertaubat, Iblis terus dengan keangkuhannya dan pelbagai alasan untuk menegakkan benang basah.
"Hai Iblis apakah yang menghalangmu dari turut sujud kepada Adam........"(Sad 75)
Sepatutnya apabila ditegur, dia sudah menyedari kesilapannya dan terus kembali. Tetapi tidak, dia terus angkuh.
"Katanya: Aku lebih baik dari Adam....."(Sad 76)
Marilah kita sama-sama kibar bendera putih, surrender serah diri kepada Allah khususnya setelah ditegur. Apabila berlaku malapetaka (yang merupakan teguran Allah kepada kita) bersegeralah kibar bendera putih mengaku kelemahan kita. Jangan berkata aku akan lakukan itu dan ini, baiki itu dan ini, bina itu dan ini supaya bencana ini tidak berlaku lagi, supaya tahun depan banjir tidak berlaku lagi, supaya tahun depan tanah tidak akan runtuh lagi. Percayalah Allah akan menghantar bala bencana yang lebih besar selagi kita tidak surrender. Oleh itu, surrender dulu, serah diri dulu, baru fikir macamana nak selesai masalah!!!!!!!!!!
Kesimpulan bagi surah Sad ialah bahawa antara maksud Islam ialah berserah diri kepada Allah dengan segera kembali (bertaubat) bila tergelincir.
Wallahu a’lam.
Kredit Untuk : http://tamanilmu.com